Wednesday, February 25, 2015

Hari Ini Dalam Sejarah

PEMBUKAAN RASMI SEKOLAH ALAM SHAH

Pada hari ini dalam tahun 1964, Sekolah Alam Shah yang terletak di Jalan Tenteram, Cheras, Kuala Lumpur disempurnakan pembukaan rasminya oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Sekolah Sultan Alam Shah merupakan sekolah berasrama penuh yang pertama ditubuhkan atas daya usaha Ketua Penasihat Pelajaran, Encik Aminuddin Baki.

Sekolah ini juga merupakan sekolah menengah aliran Melayu yang pertama mengadakan kelas tingkatan enam.  Seramai 239 pelajar sulungnya yang terdiri daripada 35 orang pelajar tingkatan enam rendah dan 204 pelajar tingkatan empat memulakan sesi persekolahan pada 7 Februari 1963.

Sejajar dengan kedudukannya sebagai sekolah bestari, pada 26 April 2003 ia telah berpindah ke lokasi baru yang terletak di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pada 25 Mac 2006, Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum  Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah berkenan memilih nama baru bagi sekolah iaitu Sekolah Sultan Alam Shah bersempena dengan nama nenda baginda.

Sesungguhnya penubuhan Sekolah Sultan Alam Shah merupakan hasil kejayaan perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui penyata Razak 1956 telah mengukir pelbagai kecemerlangan sehingga membolehkan ia dipilih sebagai Sekolah Kluster Cemerlang  pada tahun 2007 dan ditauliahkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi pada 25 Januari 2010.

Sumber asal: http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=4145

No comments:

Post a Comment